Hikayat Manusia

Kisah-kisah yang tergambar dengan cara tersendiri

Aduh! Berat Kepalaku…! January 30, 2009

Filed under: Kehidupan & Kisahnya — ahmadturmizi @ 22:05

Pada suatu hari, seorang pemuda baru pulang dari tempat kerjanya. Nama pemuda tersebut ialah Mizal. Dia bekerja sebagai seorang Ustaz di sebuah sekolah agama yang terpencil dan tidak dikenali. Seperti biasa, dia menggunakan jalan yang sama untuk pulang ke rumah sewanya selepas dia solat Maghrib berjemaah di sekolah tersebut. Perjalanan dari rumah sewanya dan sekolah tersebut mengambil masa lebih kurang 2 jam. Jalan yang digunakan sunyi tanpa pengguna-pengguna lain di waktu malam. Keadaan ini menyenangkan Ustaz Mizal.

Tetapi malam ini tidak terasa seperti malam-malam sebelumnya. Langit kelihatan amat gelap tanpa kelihatan bulan dan bintang. Angin meniup kuat dari biasa. Hujan renyai mula turun sebaik sahaja Ustaz memasuki sebuah lorong sempit. “Baik aku cepat sebelum hujan makin lebat.”, fikirnya. Dia pun menekan minyak motor Honda Cupnya sehabis mungkin walaupun motornya hanya mampu memecut sehingga 70 kilometer sejam.

Lorong yang biasa dilaluinya semakin gelap disebabkan tidak terdapat tiang lampu atau rumah penduduk berdekatan dengan lorong tersebut. Lorong itu hanya digunakan oleh penduduk-penduduk kampung untuk pergi ke kebun-kebun mereka. Tiba-tiba Ustaz Mizal merasa sejuk yang luar biasa mencucuk ke tulang sum sumnya hingga menyebabkan dia menggeletar dan meremang bulu romanya. Badannya, terutama kepalanya terasa semakin berat dari biasa. “Mungkin sebab baju aku basah dek hujan.”, fikirnya untuk mengelakkan mindanya berfikir yang bukan-bukan.

Di lorong yang gelap itu, hanya lampu motornya yang uzur sahaja menyinari jalan tersebut. Tiba-tiba lampu tersebut berkelip-kelip dan beransur padam. “Ah! Sudah.”, fikirnya. Dia memberhentikan kenderaannya. Keadaan menjadi sangat gelap tanpa ada secebis cahaya pun yang kelihatan. Ustaz Mizal cuba menumpukan perhatiannya kepada keadaan sekililingnya dengan harapan dia masih boleh meneruskan perjalanan pulang, sekurang-kurangnya ke tempat yang ada cahaya. Dia mula sedar bahawa keadaan sekelilingnya lebih sunyi dari biasa. Walaupun hujan semakin lebat, sunyi tersebut masih wujud, seolah-olah hujan tersebut hanya ilusi. Kepalanya terasa semakin berat. Ustaz menggelangkan kepalanya bersungguh-sungguh, menafikan ketakutan pada sesuatu yang tiada di dalam mindanya.

Dia cuba sekali lagi menumpukan penglihatannya kepada keadaan sekelilingnnya kerana dia tahu keempat-empat derianya yang lain tindak berguna dalam keadaan ini. Tiba-tiba kelihatan cahaya tidak beberapa jauh dari tempat dia berdiri. Wajahnya memaparkan rasa sedikit lega. Dia mula memandu ke arah cahaya tersebut dengan perlahan dan berhati-hati. Dengan cahaya yang sedikit itu, dia dapat melihat jalan yang dilaluinya.

Setibanya Ustaz Mizal ke tempat tersebut, dia nampak sebuah pondok dengan papan tanda. Dia menghampiri papan tanda tersebut untuk melihat apa yang tertera. “Surau Kampung…” bacanya dengan nada menurun. Dia tidak boleh terus membacanya kerana tulisan lain amat sukar dibaca akibat hakisan pada papan tersebut. Dia merasa hairan. Dia tidak tahu menahu tentang wujudnya surau di sini.  Dia melihat jam tangannya dan tersenyum. Waktu solat Isya’ baru sahaja  masuk dan kebetulan ini membuatkan dia terasa sedikit lucu.

surau-kampung

Dia dengan segera pergi ke paip surau yang terletak berdekatan dengan pintu masuk surau tersebut untuk mengambil wudu’. Ketika dia mengambil wudu’ dia merasa hairan kerana setiap rukun wudu’ yang dilaksanakan, semakin terasa berat kepalanya. Dia segerakan apa yang dibuat tanpa melihat sekelilingnya. Dia khuatir pandangan matanya akan menipu dan menyemarakkan rasa takut di hatinya. Dia juga tidak mahu terlepas solat berjemaah dengan penduduk-penduduk sekitar kawasan itu. Dia berfikir begitu setelah dia ternampak dua pasang selipar tersusun di luar surau itu.

Apabila dia berada di hadapan pinti masuk surau tersebut, dia bertambah hairan kerana dia tidak dapat melihat sesiapa yang ada di dalamnya. “Hurm… Mungkin selipar tadi hanya untuk kegunaan surau. Patutlah aku tak dengar azan. Tapi siapa yang pasang lampu?”, fikirnya. Dia cuba menenagkan dirinya dan berusaha untuk tidak fikirkan sangat mengenai ketakutannya. “Tak ada apa-apalah… Ini surau… Rumah Allah…!”, katanya tanpa disedarinya bahawa dia sedang bercakap apa yang difikirkannya.

Dia melangkah masuk ke dalam surau tersebut. Kepalanya terasa semakin berat setiap kali dia melangkah masuk, seolah-olah ada sesuatu sedang menari di atas kepalanya. Dia mula takut. Dia percepatkan langkahnya ke depan tanpa melihat belakang dan terus melaungkan azan. Selepas itu, dia terus melaksanakan solat Isya’ tanpa memikirkan kemungkinan adanya jemaah yang lain.

Selepas bangunnya dia dari sujud raka’at pertama, dia terdengar bunyi langkah kaki seorang manusia melalui bunyi lantai kayu yang sudah usang. Tanpa disedarinya, dia melepaskan nafas lega yang kuat setelah dia tahu bahawa dia bukan keseorangan. Bunyi langkah kaki tersebut berhenti dan dia sedar bahawa manusia tersebut tidak Masbu’, mengikut serta solat bersamanya. Dia merasa hairan. “Mungkin dia sudah solat di rumah dan datang ke surau kerana ada majlis ilmu.”, fikirnya lagi.

Dia meneruskan solatnya. Ketika raka’at yang kedua, jelas terasa kepalanya semakin berat. Dia juga mula perasan seolah-olah ada seseorang sedang merenung dengan kuat ke arahnya dari belakang. Rasa ragu-ragu mula menghantui hati Ustaz Mizal. Dia merasakan masa berlalu amat perlahan. Kepalanya terasa semakin berat pada setiap raka’at yang dilaksanakannya. Dia mula risau kerana sesuatu yang tidak difahami berlaku kepadanya. Dia semakin takut dan fikirannya mula dipenuhi dengan cerita-cerita seram yang pernah didengarnya.

Rasa ragu, risau dan takut tidak dapat dilenyapkan olehnya walaupun dia telah melaksanakan solat Isya’ sehingga Tahiyat Akhir. Dia takut apa yang bakal dilihatnya. Dengan perlahan, dia menoleh ke kanan untuk Salam yang pertama. Dia terkejut…! Ada seorang manusia tua yang sedang merenung kuat ke arahnya. Mata mereka bertentang…! Urat-urat merah kelihatan pada mata putihnya. Pakaiannya lusuh dan basah. Dia kelihatan berpeluh dengan kuat. Mukanya berkerut seolah-olah dia sedang marah. Nafasnya laju keluar dan masuk.

Dia merasa sangat takut. Dia terus menoleh ke kiri untuk Salam kedua, walaupun sebenarnya dia takut tetapi cuba untuk berlagak berani. Dia cuba berlagak seolah-olah apa yang dilihatnya adalah biasa. Dia cuba tenangkan dirinya dengan berlakon seolah-olah dia sedang berzikir selepas solat. Dia cuba yakinkan dirinya bahawa dia hanyalah seorang tua yang datang ke surau untuk majlis agama.

Dia terdengar orang tua itu melepaskan nafas berat seolah-olah menunjukkan dia sedang kesal. Perbuatan itu membuatkan Ustaz Mizal lebih tertanya-tanya. Apakah dia manusia tua yang biasa atau makhluk di luar pemahamannya… Kepalanya sedia terasa beratnya memberi tekanan yang luar biasa, tetapi Ustaz Mizal menghiraukannya kerana fikirannya hanya tertumpu kepada status sebenar makhluk di belakangnya.

Setelah Ustaz Mizal berjaya menenangkan dirinya , dia tekad untuk memastikan keraguannya. Dia mahu memastikan dan meyakinkan dirinya bahawa makhluk di belakangnya hanya seorang manusia. Selepas dia membaca doa, dia pun menoleh ke arah orang tua tersebut. Dia terpaku sebentar melihat orang tua tersebut masih menenungnya dengan kuat sekali. Sekilas mata mereka bertentang, Ustaz Mizal terasa takutnya membuak-buak. Tangannya terketar. Kepalanya kini terasa semakin berat. Dia menggenggamkan tangannya sekuat mungkin untuk menenangkan diriknya. Dia tekad untuk teruskan. “Its only in my mind… I have to make sure of it… Its now or never…!” fikirnya dalam bahasa Inggeris. Tersenyum Ustaz Mizal terfikirkan sudah lama dia tidak berbahasa Inggeris.

“Assalamu’alaikum…”, Ustaz Mizal memberi salam tanda hormat. Terangkat kening orang tua itu mendengarnya. Dia tersenyum sedikit. Mukanya yang kuat berkerut kembali tenang. Namun, matanya masih memandang Ustaz Mizal dengan tajamnya.

“Wa’alaikum Salam Warahmatullah…”, jawab orang tua itu dengan suara dalamnya. Balasan orang tua itu membuat Ustaz Mizal merasa lega. Dia semakin yakin bahawa orang tua itu hanya seorang manusia biasa. “Anak ni dari mana?”, tanya orang tua tersebut.

“Saya dari sekolah agama kat dalam sana. Saya kerja Ustaz di sana.”, jawab Ustaz Mizal dengan sopan dan lemah lembutnya. Dia mula fikir bahawa orang tua ini boleh diajak bersembang. Tetapi jangkaannya meleset, setelah mendengar apa yang dikatakan olehnya, orang tua itu kembali berkerut kuat. Matanya kelihatann semakin besar. Kelihatan juga urat-urat merah mula timbul. Ternyata orang tua itu marah. Idea bahawa orang tua ini bukan manusia timbul kembali. “Adakah kerana aku seorang Ustaz, makhluk ini marah?” fikir Ustaz Mizal.

Akibat terkejut, dia terbaring ke belakang. Orang tua itu dengan tangkasnya bangun dan mula bergerak  ke arah Ustaz Mizal. Ustaz Mizal berundur dengan gopohnya. Kepalanya terasa semakin berat. Dia mula yakin bahawa orang tua itu bukan manusia. Wajahnya menunjukkan dia amat takut dan cuba melarikan diri. “Kenapa?! Apa salah saya?!”, katanya secara sepontan, ketika mana dia sendiri tidak sedar apa yang dikatakannya. “Maafkan saya…! Tolong…! Apa salah saya…!”

Orang tua itu berhenti. Kemudian dia terus ke depan dengan lajunya, mencangkuk mengadap Ustaz Mizal dan menangkap kakinya agar dia tidak lagi berundur. Ustaz Mizal semakin gelisah. “Aku mesti lari”, jeritnya di dalam hati. Suaranya tidak terkeluar. Dia mahu meronta, tetapi tekanan pada kepalanya memberi kesan kepada badannya. Dia kaku. “Apa… Apa salah… Apa salah akuuuu?! Uuuuuu…”

“Anak…”, kata orang tua itu dengan lembutnya. Ustaz tersebut tersentak. Dia masih takut, tetapi menantikan apa yang akan dikatakan oleh makhluk ini. Orang tua itu menarik nafas sedalam mungkin dan melepaskannya, seolah-olah dia sedang kesal. Dia kemudian menggelengkan kepalanya. “Anak… Kenapa anak sembahyang pakai topi keledar…?” =p

 

One Response to “Aduh! Berat Kepalaku…!”

  1. orangs Says:

    ha ha ha!!!


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s